Wednesday, October 29, 2008



Maksud Firman Allah SWT
"Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan berkorbanlah" Al-Kauthar:2



Maksud Hadis Rasullullah SAW"

Barang siapa yang dikurniai seorang anak, laluia menyukai untuk membaktikannya (mengaqiqahinya),maka hendaklah ia melakukannya




Syariat korban


Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah. Perintah berkorban telah disyariatkan oleh Allah kepada kita pada tahun ke 2 hijrah bersamaan dengan perintah solat Eidul Adha dan zakat.

Firman Allah swt yang bermaksud:
"Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah."
Al-Kautsar:

2. Menurut pendapat yang masyhur, maksud solat pada ayat itu ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban.

Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut sebagai berikut:

"Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah sahaja dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai kesyukuran terhadap apa yang dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya."

Nabi s.a.w juga telah bersabda yang bermaksud:

"Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi ) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya." (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)

Fadhilat korban

Keistimewaan orang yang berkorban banyak sekali. Saidina Ali bin Abi Talib r.a telah meriwayatkan bahawa sesiapa yang meninggalkan rumahnya dengan maksud membeli haiwan korban, maka setiap langkah dikurniakan 10 kebajikan, dihapuskan 10 kesalahan, dinaikkan martabatnya 10 darjat

. Apabila dia bercakap-cakap dengan penjual ketika membelinya, maka setiap patah kata yang diucapkannya itu adalah sama dengan satu tasbih. Dan jika dibayar harganya, maka setiap satu dirham, dia beroleh 700 kebajikan. Jika haiwan itu dibaringkan di atas tanah, maka setiap titis darah yang tertumpah, dijadikan oleh Allah 10 Malaikat yang mendoakan dan meminta ampunkan kesalahannya kepada Allah sampai hari kiamat.


. Apabila dagingnya dibahagi-bahagikan, maka setiap suap yang dimakan orang, baginya adalah seperti memerdekakan seorang anak cucu Nabi Ismail a.s. Haiwan yang dikorbankan itu kelak akan menjadi kenderaan bagi orang yang mengorbankannya pada hari kiamat. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Muliakanlah korban-korbanmu, kerana nanti dia menjadi kenderaan kamu ketika melalui titian Siratal Mustaqim."

. Selain daripada itu orang-orang yang melaksanakan ibadah korban dipandang sebagai orang yang baik di antara umat Nabi Muhammad s.a.w, sesuai dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w:

"Umatku yang baik ialah mereka yang berkorban dan umatku yang jahat ialah mereka yang tidak berkorban."

. Korban juga dapat menyelamatkan orang yang berkorban dari kejahatan dunia dan akhirat. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

"Bukankah korban itu termasuk ibadah yang menyelamatkan orang, yakni menyelamatkan orang yang empunyanya daripada kejahatan dunia dan akhirat."


Takrif aqiqah

Aqiqah menurut bahasa ertinya "rambut yang tumbuh di atas kepala bayi yang dibawanya waktu lahir." Demikian pendapat 'Ubaid, Ashmu'i dan Zamakhsyari.

Menurut istilah hukum syara', aqiqah ialah "penyembelihan haiwan tertentu untuk kepentingan anak, disamping mencukur atau memotong rambutnya dan diberi nama untuk anak itu."

Menyembelih aqiqah adalah sunat muakkad. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

"Tiap-tiap anak itu tertebus (terpelihara daripada kemudaratan dan kemungkaran) dengan aqiqahnya, disembelih haiwan untuknya pada hari ketujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama".

Ibnu Al-Qayyim menegaskan bahawa aqiqah itu melepaskan bayi tesebut daripada golongan syaitan dalam urusan dunia dan akhirat.


Hukum aqiqah


Imam Syafi'e berpendapat melaksanakan aqiqah adalah sunat muakkad.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

"Berserta anak itu ada aqiqah, maka alirkanlah darah untuknya, dan singkirkanlah sesuatu yang membahayakan daripadanya." (Maksud hadis riwayat Tirmidzi)

"Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh, dan dicukur serta diberi nama." (Maksud hadis riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Imam Malik menyatakan bahawa, hukum aqiqah ini adalah perintah yang tidak dapat diperselisihkan lagi. Imam Ibnu Qayyim pula menyabitkan aqiqah dengan nilai korban seekor kambing yang dikurniakan oleh Allah swt sebagai ganti diri untuk Nabi Ismail a.s.. Maka dengan itu, difahamkan bahawa penyembelihan aqiqah untuk anak yang dilahirkan berguna untuk melindungi bayi daripada gangguan syaitan.

No comments: